28.10.17

Dah besar dah

Setiap pagi aku hantar Sabrina ke sekolah aku takkan lepaskan peluang untuk berbual dengan dia tentang apa sahaja yang dia ingin katakan. Tentang kawan-kawan dia. Tentang cikgu dia. Tentang peristiwa-peristiwa yang berlaku di taska dan teman-teman di taman permainan. Tentang pengalaman selepas bermalam di rumah keluarga yang satu lagi. Apa sahaja. Aku dengarkan saja; anak sulung aku berbicara antara petah dan gagap sebab tak banyak vocab lagi. Sesekali aku tersenyum. Tak ada apa yang lucu. Cuma terlalu manis untuk disenyum-senyum kan.

Aku tahu sabrina takkan pandang aku macam aku pandang dia. Gerak geri dia, suara dia, dengan gigi dia yang dah rongak 3 batang, ketawa kecil dia. Muka bingung dia bila tak tahu nak sampai kan satu cerita menggunakan perkataan yang sesuai. Muka renyuk dia bila aku ejek dia rongak. Semua itu ada tempat tersendiri di dalam hati aku. Terutama sekali pipi dia yang sudah semakin tidak tembam macam dulu-dulu.

Kadang kadang sambil dia bercerita dalam tersekat-sekat bahasa dia tu, aku sempat cuit pipi yang dah tembam itu. Aku tahu, tak lama nanti pipi tembam tu akan surut apabila dia semakin menginjak dewasa. Mungkin kalau Sabrina jenis menjaga makan, pipi tembam itu akan jadi kenangan saja buat aku. Tubuh yang terkuit-kuit mengharap peluk ibu dulu kini sudah hampir 8 tahun berjalan berlari; teriak; bercakap; dan tak terkuit kuit lagi.

Jasad yang dulu merah, buntal, tembam pipinya, yang bagaikan anak burung lapar apabila melihat payudara bersusu ibunya, kini sudah semakin membesar dan akan semakin dewasa meninggalkan ibunya tadi dengan sejuta memori.

Dia lah insan yang mula-mula sekali lahir membawa kunci lalu dibukakan pintu kepada keluasan cinta seorang ibu dalam hati aku.

Dia;

dah besar dah.

:')





24.10.17

Terencat

Pada suatu hari alkisah seorang yang selalu nak nampak cool depan semua orang termasuk dengan anak dia, mengeluarkan teka teki berbunyi;

"Cuba teka, kalau ayah dan ibu dapat baby baru, ayah nak kasi nama apa kat baby tu?

a) Thaquik
b) Thakek
c) Thaqof..." aju si ayah konon lawak sangat lah tu.

Anak-anak tergelak.

Manalah mereka tahu teka teki itu beragenda jahat bertujuan untuk mengejek nama adik kandung mereka sendiri di sebelah ibu mereka, iaitu Thaqif.

Terkejut sungguh aku bila kisah ini sampai ke telinga aku. Nak nak bila baru sahaja seminggu dua dapat mesej dari si Ayah yang berbunyi "harap kita dapat jadi contoh yang baik kepada anak-anak"

Contoh baik apa ko nak tunjuk bila duk mengejek nama anak orang tu?

dan bila aku dengar cerita ni, spontan hati aku berkata

"Perangai terencat"